IPOH – Rakyat Perak diminta agar menjaga sumber air khususnya di kawasan tadahan air dan ekosistem kerana bekalan bahan mentah tersebut memberi sumbangan besar terhadap keperluan kehidupan seharian.

Malah, menurut rekod Jabatan Alam Sekitar (JAS) bahawa negeri Perak antara negeri yang mempunyai peratus sungai kategori bersih tertinggi di Malaysia.

Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad berkata, negeri Perak sangat bertuah kerana dianugerahkan dengan Sungai Perak iaitu sungai kedua terpanjang di Semenanjung Malaysia yang menjadi sumber utama bekalan air kepada kira- kira 2.7 juta penduduk.

Ujar beliau, di negeri Perak juga terdapat 11 lembangan sungai utama iaitu lembangan yang luasnya melebihi 80 kilometer persegi.

“Lembangan Sungai Perak adalah lembangan sungai yang terbesar dengan keluasan 14,908 kilometer persegi iaitu kira-kira peratus daripada keluasan negeri ini.

“Sungai Perak sepanjang 400 kilometer itu bermula dari Banjaran Titiwangsa di Hutan Simpan Kekal Royal Belum di Hulu Perak dan kemudian mengalir ke hilir hingga Beting Beras Basah di Bagan Datuk sebelum masuk ke Selat Melaka.

“Kita juga amat bertuah kerana terdapat empat empangan iaitu di Temenggor, Bersia, Kenering dan Chenderoh yang dikendalikan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang berfungsi sebagai kawasan tadahan air, tebatan banjir dan sumber tenaga hidro elektrik yang diperbaharui,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Sambutan Hari Air Sedunia Peringkat negeri Perak 2021 di Hotel Casuarina di sini hari ini.

Program berkenaan turut dihadiri Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Sementara itu Tuan Ibrahim dalam ucapannya turut memuji warga Perak berikutan bilangan sungai bersih di negeri ini yang berada pada julat 81 hingga 100 Indeks Kualiti Air telah mencatatkan peningkatan setiap tahun iaitu 40 sungai pada tahun 2018, 46 sungai pada tahun 2019 dan 55 sungai pada tahun 2020.

Katanya, menurut Laporan Kualiti Alam Sekeliling Tahun 2019, Sungai Tapah adalah sungai paling terbersih di Malaysia berbanding 672 sungai yang dipantau oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) di bawah Program Pengawasan Kualiti Alam Sekitar (EQMP) di Malaysia.

Sehubungan itu, beliau percaya pada laporan tahun 2020 yang akan diterbitkan tidak lama lagi dan tidak mustahil sungai-sungai di Perak masih berada di kedudukan terbaik.