IPOH - Lebih 200 Rumah Mesra Rakyat (RMR) akan dibina menerusi kolaborasi antara Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) bersama Yayasan Perak.

Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad berkata, menerusi kerjasama ini pemohon pula hanya perlu membayar 70 peratus kos pembinaan manakala selebihnya dibiayai oleh SPNB.

Menurut beliau, RMR Perakku Prihatin ini khusus untuk golongan berpendapatan rendah atau B40 ke bawah serta menepati syarat yang ditetapkan oleh Yayasan Perak.

"Kerajaan negeri berbesar hati apabila pihak SPNB sudi menjalinkan kerjasama kerana sebelum ini  projek RMR dijalankan oleh Yayasan Perak secara sendirian.

"Misalnya jika dulu kita bina rumah bersaiz 800 meter persegi berharga RM50,000 tetapi dengan kerjasama ini kita boleh bina rumah lebih besar dengan sebahagian kos dibiaya SPNB.

"ini sudah pasti menguntungkan rakyat (pemohon) selain kita boleh membina lebih banyak rumah kerana mempunyai lebihan peruntukan," ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) pembangunan RMR SPNB di Hotel Casuarina di sini hari ini.

MoU dimeterai antara SPNB bersama Yayasan Perak dan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Negeri Perak (PKMM).

Pada majlis tersebut SPNB diwakili Ketua Pegawai Eksekutif,  Datuk Hasleen Isnin manakala Yayasan Perak diwakili Pengerusinya, Datuk Tarmizi Idris dan PKMM oleh Yang Dipertua, Datuk Wira Jamaluddin Abdul Rahim.

Pembabitan PKMM pula adalah untuk memberi peluang pekerjaan kepada kontraktor kelas F yang berpengalaman bagi pembinaan rumah tersebut.

Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan Dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi.

Pada majlis itu juga SPNB turut memperkenalkan enam model baharu RMR yang berkonsepkan kontemporari.

Antara rekabentuk baharu yang diperkenalkan adalah rumah jenis bertiang berkeluasan 1,000 meter persegi dengan tiga bilik dan dua bilik air.