IPOH- Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menzahirkan kesediaan berkerjasama dengan Majlis Bandaraya Ipoh dan Kerajaan Negeri Perak untuk menghidupkan semula Pusat Inovasi dan Sumber Kreatif Perak (PiNCER).

Pengerusi FINAS, Zakaria Abdul Hamid, berkata cadangan mengaktifkan semula PiNCER oleh Datuk Bandar Ipoh, Dato’ Rumaizi Baharin disambut baik oleh pihak FINAS dalam menyokong perkembangan industri kreatif di negara ini.

“Pihak FINAS menyambut baik cadangan ini dan kami bersedia sekiranya kerajaan negeri memanggil kami untuk mengadakan perbincangan ataupun menandatangi memorandum perjanjian dua hala (MOU).

“Selain dapat membantu pengkarya-pengkarya seni tanah air, PiNCER merupakan pusat inovasi yang terunggul di negara ini dan pasti  akan menjadi mercu tanda baru bandaraya Ipoh sebagai sebuah ‘Bandar Seni’.

“Selain membantu dari segi dana kita juga boleh melaksanakan kerja-kerja promosi sebagaimana yang sedang dilakukan di studio Iskandar, Johor Bharu. Kita mewar-warkan kemudahan yang ada kepada pembikin-pembikin filem di luar negara”, katanya sewaktu ditemubual baru-baru ini.

PiNCER terletak di bandar Meru Raya telah dibangunkan oleh Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perak di bawah projek Taman Teknologi Tinggi Perak (PHTP) menelan kos sebanyak RM20 juta pada tahun 2011.

PiNCER satu-satunya pusat yang menawarkan sumber teknologi dan kepakaran,  seperti studio, reka bentuk industri, kemudahan pengajaran, teater mini, bilik darjah dan galeri.

Sementara itu  Penerbit Eksekutif Luncai Emas, Sham Amir Hussain, berkata pihaknya juga bersedia untuk menguruskan  PiNCER sekiranya diberi kepercayaan oleh kerajaan negeri Perak.

“Saya yakin dan percaya bangunan PiNCER akan menjadi ‘One Stop Centre Seni’ kepada seluruh pengkarya seni di Malaysia mahu pun luar negara. Istimewanya bangunan ini, ianya memiliki dua dalam satu iaitu muzik dan video yang belum terdapat pada mana-mana station tv di negara ini.

“Saya telah melihat kelengkapan yang sedia ada seperti studio, green skrin dan bilik editing masih baru dan boleh digunakan. Saya bimbang sekiranya ianya terbiar lama semua kemudahan dan peralatan yang ada akan rosak.

“Sekiranya bangunan ini berjaya di baik pulih serta keperluan penambahan seperti kamera dan sebagainya saya percaya ianya akan menarik pengiat seni dari dalam dan luar negara menggunakan perkidmatan yang disediakan’, katanya selepas mengadakan lawatan di PiNCER, di sini, hari ini.