TANjUNG MALIM – Sebagai inisiatif meningkatkan kegiatan ekonomi wanita, seramai 215 golongan hawa di negeri Perak telah menerima bantuan Kiosk Biznita sentuhan reka bentuk unik dan mudah dibawa untuk membantu mereka menjalankan perniagaan.

Pengerusinya Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan NGO, Datuk Dr. Wan Norashikin Wan Noordin berkata, pembaharuan itu juga membolehkan peniaga wanita menambah pendapatan keluarga dalam usaha meringankan beban semasa pandemik Covid-19.

"Kiosk ini adalah rekaan sendiri yang khas direka oleh pembuatnya untuk memastikan ianya memudahkan peniaga wanita. Set kiosk ini mengandungi payung ringan dan boleh dilipat untuk dimasukkan ke dalam kereta.


"Jadi sangat sesuai untuk peniaga wanita yang perlu mengangkat barang-barang seorang diri," katanya selepas majlis penyerahan Kiosk Bantuan Peralatan Peniaga Kecil Wanita (BizNita) di Dewan Behrang Stesyen di sini yang disempurnakan Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad.

Ia sempena Program Menteri Besar Bersama Rakyat (MESRA) Parlimen Tanjung Malim.

Sebagai gimik penyerahan, seramai 12 orang penerima dari Tapah, Teluk Intan dan Tanjung Malim menerima bantuan kiosk tersebut yang diagihkan kepada para semua lapisan masyarakat iaitu Melayu, India, Cina dan Orang Asli yang melibatkan peruntukan berjumlah RM 350,000.