IPOH – Kerajaan negeri Perak melalui Digital Perak Corporation Holdings (Digital Perak) akan menyediakan platform latihan bagi usahawan termasuk peniaga kecil di negeri ini untuk menggunakan teknologi digital dan media sosial sebagai medium pemasaran.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Khairul Shahril Mohamed berkata, inisiatif tersebut adalah usaha kerajaan negeri membantu merancakkan semula ekonomi usahawan yang terjejas berikutan penularan pandemik Covid-19.

Menurutnya, Digital Perak turut bersama-sama membantu menyediakan latihan kepada usahawan antaranya pembikinan video pendek bagi mempromosikan produk usahawan di media sosial.

Dalam perkembangan sama, beliau bekata, sewaktu pandemik Covid-19 berlaku, kebanyakkan usahawan berusaha mencari alternatif terbaik bagi memasarkan produk mereka dengan lebih efisien termasuklah menggunakan pendekatan teknologi digital.

“Berdasarkan pengalaman ketika pandemik, ramai usahawan yang menggunakan pendekatan ekonomi digital memperolehi pendapatan yang berlipat kali ganda,” katanya.

Beliau ditemui pada sidang media selepas majlis penyampaian hadiah Pertandingan Video Pendek “Perak Food Hunter” Negeri Perak 2021 di Galasa Caldwell di sini, malam tadi.

Hadir sama, Ketua Pengawai Eksekutif Digital Perak, Meor Rizal Fitri Meor Redzuan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak, Nurmalis Musa.

Menyentuh mengenai pertandingan video pendek yang diadakan bermula dari 8 Januari hingga 19 Mac lalu, Khairul Shahril berkata, pihaknya bercadang untuk menjadikannya acara tahunan sekaligus membantu usahawan mempromosikan produk serta melonjakkan Perak sebagai syurga makanan.

Katanya, video pendek tersebut akan digunakan sebagai salah satu cara promosi kepada orang ramai berhubung produk yang dipasarkan melalui Perak Interactive Open Resource TV (PiOR TV) (milik Digital Perak) dan media sosial.

Sepanjang pertandingan berlangsung, pihak penganjur menerima 173 penyertaan daripada seluruh negeri dan pemenang dipilih mengikut kreativiti yang ditonjolkan dalam setiap video pendek tersebut.

Bagi kategori StreetFood, tempat pertama dimenangi oleh Ahmad Safuan @ Albert Lanun (Mr Bob Burger); disusuli tempat kedua, Mohamad Harith Haikal Mohd Rosli (Orginal Coconut Teluk Intan) dan tempat ketiga, Adam Jaha (Cendol Deen CT Corner).

Manakala, bagi kategori Kafe, tempat pertama dimenangi oleh Muhammad Qutbuddin Mohd Hafidz (Hippi Garden); disusuli tempat kedua, Raja Shamir Izwan Raja Sharuddin (Kedai Kopi Yeop) dan tempat ketiga, Anis Amanina Abdul Halim (Ate Kome).

Pemenang tempat pertama menerima hadiah wang tunai RM3,000, diikuti tempat kedua RM2,000 dan ketiga RM1,000. Ketiga-tiga pemenang utama ini turut membawa pulang Apple iPad dan sijil penghargaan. Manakala pemenang saguhati menerima RM100 dan sijil penghargaan.

Selain itu, Anugerah Khas perintah kawalan pergerakan (PKP) turut diberikan kepada Nordiana Atiqah Abdul Rahim (Miker Pizza).