IPOH - Perak melaksanakan solat Jumaat 'bersyarat' selepas dua bulan aktiviti itu dihentikan akibat penularan wabak Covid-19.

Imam Besar Masjid Sultan Azlan Shah di Ipoh, Syed Mohd Muzzaffar Syed Azlan berkata 12 orang jemaah termasuk beliau dan khatib menjalani ibadat itu di sini, hari ini. 

Beliau bercadang untuk membuat penggiliran jemaah memandangkan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) hanya membenarkan 12 orang termasuk imam dan khatib selain ahli jawatankuasa (AJK) kariah masjid untuk solat Jumaat.

"Kami berharap cadangan tersebut  dipertimbangkan kerana terdapat AJK masjid atau surau Jumaat yang telah berumur 60 tahun ke atas dan jika menurut syarat MAIPk, individu pada usia tersebut tidak digalakkan hadir berjemaah," katanya.

Semalam, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah memperkenan untuk membenarkan hanya 12 orang jemaah sahaja melakukan solat Jumaat dan solat sunat Aidilfitri di masjid dan surau seluruh negeri Perak. 

Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Shahrul Azam Shaari berkata, kebenaran itu tertakluk kepada syarat-syarat yang telah dipersetujui yang melibatkan bilangan jemaah termasuk imam dan khatib serta bilangan tidak melebihi 12 orang sahaja. 

Kebenaran solat Jumaat telah bermula pada hari ini sementara solat sunat Aidilfitri diadakan pada pagi 1 Syawal.