IPOH - Amalan ziarah tanah perkuburan pada pagi Aidilfitri tidak dibenarkan di negeri ini bagi mengelakkan risiko penularan wabak Covid-19. 

Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusop Husin berkata, pihaknya membuat keputusan tersebut bagi mematuhi arahan yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN). 

Menurutnya, aktiviti menziarahi kubur sewaktu Aidilfitri seolah-olah sudah menjadi adat, sedangkan ia boleh dilakukan pada bila-bila masa terutama selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berakhir.

"Kebiasaannya, jika orang menziarah di tanah perkuburan, mereka akan berada dalam tempoh lama dan bermungkinan duduk secara rapat memandangkan kedudukan kubur berada hampir antara satu kubur dengan kubur yang lain.

"Kalau dalam satu masa sehingga beratus orang berkumpul di tanah perkuburan, risiko untuk Covid-19 merebak adalah tinggi jika di situ ada wabak," jelasnya. 

Sebelum ini, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) memberi kelonggaran bagi aktiviti ziarah tanah perkuburan pada Ramadan dan Aidilfitri dengan hanya menetapkan 20 individu dalam satu-satu masa.