IPOH, 19 Mei- Datuk Bandar Ipoh, Dato’ Rumaizi Baharin @ Md Daud, merancang akan menggerakkan semula aktiviti-aktiviti di bandaraya Ipoh bagi mengatasi kemelut ekonomi yang sedang melanda berikutan krisis pendemik Covid-19. 

“Sekarang kita menghadapi dua cabaran utama yang harus ditangani dengan bijak untuk jangka masa pendek. Pertama, cabaran bagaimana kita menangani wabak Covid-19 dimana kita harus memastikan semua sektor bebas daripada penularan wabak ini.

“Kedua kita berhadapan dengan isu kegawatan ekonomi yang bukan sahaja melibatkan negara kita, malah seluruh dunia sedang menghadapinya. Jadi dengan itu, untuk kita menggerakkan semula aktiviti-aktiviti ekonomi yang tergendala, kita haruslah memastikan kedua-dua cabaran tersebut mampu diatasi dengan baik dan berkesan. 

“Untuk jangka masa panjang pula, kita mahukan sebuah bandaraya yang mampan bagi memastikan semua rakyat berasa puas, hidup dengan selesa dan selamat”, katanya kepada media hari ini.

Pada masa yang sama Dato’ Rumaizi Baharin turut menyatakan masalah pembuangan sampah yang mungkin meningkat sempena cuti perayaan Aidil Fitri. Ini adalah disebabkan kebanyakkan orang ramai tidak pulang ke kampung disebabkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Orang ramai tidak perlu berasa bimbang kerana Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) tetap menjalankan kerja-kerja pengutipan sampah seperti biasa. Statistik pada tahun lepas menunjukkan pembuangan sampah mencatatkan sebanyak 1200 tan metrik namun tahun ini jumlah tersebut mungkin mengalami kekurangan tidak melebihi sepuluh peratus sahaja.”, katanya.