IPOH – Setelah kira-kira dua tahun menyumbang khidmat bakti sebagai Ketua Polis Daerah (IPD) Ipoh, Asisten Komisioner (ACP) A Asmadi Abdul Aziz melangkah meninggalkan bandar ini apabila dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Putrajaya.

Tugas sebagai KPD Ipoh kini diambil alih oleh ACP Yahaya Hassan yang sebelum ini merupakan Timbalan Ketua Polis Daerah Hilir Perak.

Asmadi, 55, memulakan tugas sebagai Ketua Polis Daerah Ipoh pada Oktober 2019 setelah bertukar dari IPD Alor Gajah.

Sifat mudah mesra dan senang didekati menyaksikan Asmadi sangat disenangi warga IPD Ipoh termasuk pihak media dalam urusan berkaitan laporan membabitkan kes-kes jenayah dan kepolisan.

Asmadi dalam hantaran menerusi mesej WhatsApp mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memberi bantuan serta kejasama kepada beliau dan IPD Ipoh selama ini.

“Saya telah sempurna serah terima tugas di Ipoh dan akan mengambil alih tugas Ketua Polis Daerah Putrajaya pada hari Isnin. Mohon ampun maaf salah silap tutur kata perbuatan selama ini.

“Ucapan terima kasih atas jasa bakti dan bantuan kerjasama selama ini dengan IPD Ipoh. Semoga kita bertemu lagi dan jaga prosedur operasi standard (SOP) perangi Covid 19,” ujarnnya.

Terdahulu, majlis serah terima tugas KPD Ipoh berlangsung di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini pada Jumaat lalu yang disaksikan Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Pahlawan Mazlan Santarai mewakili Ketua Polis Perak.