IPOH – Penduduk di kawasan kejiranan Laluan Pengkalan Barat 8, Taman Puteri Lindungan Bulan di Pasir Puteh berhadapan dengan detik cemas apabila sebatang pokok di situ tumbang dalam kejadian hujan lebat petang tadi.

Kejadian dipercayai berlaku pada jam 5.30 petang menyebabkan pokok berkenaan tumbang mengenai dua rumah dan melintang jalan di kawasan kejiranan tersebut.

Jurucakap Bilik Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Perak berkata, sepasukan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh telah bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.35 petang.

Menurutnya, operasi itu turut dibantu anggota Pasukan Bomba Sukarelawan (PBS) bomba Pasir Pinji, PBS Mengglembu dan PBS Pekan Baru.

“Sewaktu tiba di tempat kejadian, kita mendapati sebatang pokok telah tumbang mengenai dua buah rumah penduduk.

“Sebuah kereta yang diletakkan di hadapan salah sebuah rumah turut dihempap pokok. Operasi memotong pokok kemudian telah dilakukan oleh bomba sebelum diserahkan sepenuhnya kepada pihak Majlis Bandaraya Ipoh (MBI),” kata jurucakap itu.

Operasi yang diketuai PBK II Yusma Yusof itu tamat pada jam 7.13 malam.