TELUK INTAN 19 Mei - Satu mayat lelaki dipercayai lemas ditemui di sungai di belakang Pasar Besar Teluk Intan di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11.20 pagi itu,  penemuan mayat disedari orang awam sebelum bertindak menghubungi bomba.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat memberitahu, sepasukan anggota dari Balai Bomba Teluk Intan dikerah ke tempat kejadian bagi mengeluarkan mayat tersebut.

Menurut jurucakap itu, setibanya di tempat kejadian, pihak bomba menemui satu mayat lelaki yang tidak dipastikan identitinya pada tebing sungai.

"Anggota bomba kemudian menggunakan tali dan pengusung untuk menarik dan mengangkat naik mayat tersebut ke atas tebing.

"Mayat berkenaan kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," ujar jurucakap itu.

Operasi yang diketuai PPgB Mohd Ismail Mohd Yunus tamat pada pukul 1.30 petang.