IPOH - Berdasarkan data yang diperolehi Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Perak, seramai 42,363 Orang Asli berusia 18 tahun ke atas di negeri ini layak untuk menerima suntikan vaksin Covid-19.  
 
Bagaimanapun, setakat ini, hanya 2,181 Orang Asli sudah menerima suntikan dos pertama manakala 1,337 orang lagi telah melengkapkan dua dos vaksinasi.
 
Pengarah JAKOA Perak dan Kedah, Harulnizam Abd Rahman berkata, berikutan itu, pihaknya akan berbincang dengan Pejabat Daerah dan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak untuk memperluaskan program 'outreach' bagi meningkatkan jumlah vaksinasi terhadap masyarakat Orang Asli. 
 
Katanya, cabaran untuk membawa Orang Asli keluar daripada penempatan mereka agak sukar, malahan ada sesetengah kawasan yang tiada capaian internet serta tiada telefon pintar menyebabkan mereka tidak boleh mendaftar menerusi MySejahtera dan perlu didaftarkan secara manual. 
 
"Berikutan itu, kita akan menjalankan program 'outreach' secara berterusan dengan mensasarkan 40,000 Orang Asli akan menerima dos pertama vaksin menjelang akhir tahun ini, Bagaimanapun,  ia bergantung kepada jumlah bekalan vaksin yang diterima daripada JKN Perak," katanya. 
 
 
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Program Outreach Vaksinasi Bersama Masyarakat Orang Asli di Kampung Chadak, Ulu Kinta di sini, hari ini. 
 
Hadir sama, Timbalan Komander Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA), Asisten Komisioner Mohd Noh Khamis dan Ahli Majlis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) Zon 1 (Hulu Kinta), Datuk Mazlan Abd Rahman. 
 
Dalam perkembangan berkaitan, Harulnizam berkata, kesedaran Orang Asli terhadap kepentingan suntikan vaksin dapat dilihat selepas ramai dalam kalangan mereka yang datang secara sukarela untuk berbuat demikian. 
 
''Sebelum ini, mereka mengambil pendekatan untuk tunggu dan lihat, tetapi selepas mereka melihat saudara mara mereka sudah divaksin, jadi mereka yakin untuk divaksin," jelasnya yang memaklumkan antara suku kaum Orang Asli terbesar di Perak adalah Semai, Temiar, Jahai dan Lanoh.