IPOH - Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun terperangkap dalam sebuah kereta Perodua Bezza yang terkunci di sebuah stesen minyak di pekan Chemor di sini pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, kanak-kanak tersebutterperangkap dalam kereta itu selepas ia terkunci sendiri ketika ditinggalkan ibunya untuk mengisi minyak.

Jurucakap Bilik Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Perak berkata, kanak-kanak itu diselamatkan oleh anggota bomba yang membuka pintu kereta berkenaan.

Menurut jurucakap itu, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian sebelum sepasukan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Meru diketuai Pegawai Operasi Rosdi Mohd Radzi dikejarkan ke lokasi.

"Setiba di tempat kejadian, anggota kita mendapati seorang kanak-kanak dua tahun terperangkap dalam kereta tersebut dipercayai lebih 10 minit.

“Anggota bomba mengambil masa kira-kira tiga minit untuk membuka pintu kereta itu menggunakan peralatan khas,” kata jurucakap tersebut.

Mangsa yang berjaya dikeluarkan dengan selamat kemudian diserahkan kepada ibunya.