TELUK INTAN -  Seorang lelaki warga emas dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Perak ketika memancing di jeti Pokok Assam dekat Jalan Pasar Teluk Intan di sini pagi tadi.

Jurucakap Bilik Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Perak memberitahu, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.43 pagi.

Identiti mangsa disahkan sebagai Teoh Har Soon, 63.

Menurutnya, sepasukan anggota dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan dikejarkan ke tempat kejadian.

"Mangsa dipercayai memancing seorang diri sebelum terjatuh dari bot.

"Operasi mencari dan menyelamat dilakukan dengan menggunakan teknik pencarian dasar (surface searching) di sekitar lokasi kejadian," kata jurucakap tersebut.

Operasi diketuai Penolong Penguasa Bomba (PPgB), Mohd Ismail Mohd Yunus.