IPOH - Polis telah menyerahkan kertas siasatan kepada Pengarah Pendakwaan Perak pada Jumaat lalu berhubung isu sebuah helikopter yang mendarat di Padang Ipoh untuk mengambil bungkusan 'nasi ganja' yang tular di media sosial baru-baru ini. 

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, kertas siasatan berkenaan akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara sebelum pihak tersebut membuat keputusan lanjut. 

Menurutnya, setakat ini polis hanya memanggil lima orang yang dipercayai terbabit dalam insiden itu untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan.

”Kita hanya mengambil keterangan lima orang iaitu yang pertama kita rekod kenyataan pengadu iaitu pihak Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan akan menyemak jika ada pihak lain terbabit termasuk pengusaha nasi ganja,"katanya.

Pada 23 Julai lalu media melaporkan,orang awam terkejut dengan kemunculan helikopter mendarat di Padang Ipoh dipercayai bagi mengambil tempahan 36 bungkusan nasi ganja yang ditempah oleh pelanggan dari Kuala Lumpur.

Beliau berkata demikian kepada media selepas perasmian Program Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Perak 2021 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Stadium Indera Mulia di sini, hari ini. 

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Mior Faridalathrash turut mengulas berhubung isu sebuah syarikat yang menganjurkan pemberian buah durian secara percuma di bawah jejambat Jalan Temenggong ke Jalan Sekolah, Parit Buntar pada Jumaat lalu. 

Katanya, perkara itu akan disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan tindakan sewajarnya akan diambil ke atas mereka yang terbabit.