IPOH - Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Klinik Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) telah memberikan hampir 17,000 suntikan vaksinasi bagi dos pertama dan kedua sehingga hari ini. 
 
Ahli Majlis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) Zon 5 (Manjoi), Datuk Azizul Kama Abd Aziz bagi mempercepatkan sasaran imuniti kelompok dapat dicapai pihaknya melalui MBI Prihatin turut bekerjasama melaksanakan program outreach bersama PPV Klinik Briged Utara PGA terutamanya bagi membantu mereka yang tidak mampu ke PPV di sekitar Zon Manjoi. 
 
"Program outreach yang dijalankan di Zon Manjoi termasuk hari ini adalah yang keenam. 
 
"Bagaimanapun, hari ini ia sedikit istimewa kerana kita mendapat kerjasama daripada Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Perak yang membawa bas khas yang digunakan pada Program Outreach Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) di Masjid Ittihadiah Kampung Tengku Hussin Baru, Manjoi di sini," jelasnya kepada Peraktastic pada Sabtu. 
 
Program terbabit turut mendapat kerjasama dua masjid lain yang berhampiran iaitu Masjid Ghufran, Manjoi dan Masjid Ar Rahman Kampung Sungai Tapah. 
 
Hadir sama, Pengerusi Yayasan Aiman, Datuk Aminuddin Md Hanafiah; Pegawai Kebajikan Briged Utara PGA merangkap Pegawai Penyelaras PPV Klinik Briged Utara, Sub Inspektor Saidu Kenchi Mohamad dan Pengerusi Majlis Belia (MAYC) Perak, Muhammad Iqbal Dinzly. 
 
 
Dalam perkembangan sama, Pegawai Perpaduan Daerah Kinta, Hajar Ahamed berkata, program outreach MOVAK pada hari ini adalah yang kedua di Daerah Kinta selepas diadakan di Kampung Changkat Tin dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Tualang Sekah. 
 
"Seramai 1,200 orang menerima vaksin ketika kita mengadakan program di Kampung Changkat Tin dan mereka sudah selesai dos pertama dan kedua. 
 
"Kita juga amat berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan PGA, MBI dan pihak masjid bagi melaksanakan program pada hari ini. 
 
"Jika ada mana-mana pihak yang ingin mendapatkan perkhidmatan bas ini, kita boleh berbincang. Sebelum ini, kita berbincang dengan Pejabat Kesihatan Daerah di mana lokasi-lokasi yang memerlukan bas dan kita akan bekerjasama. 
 
"Motif utama kita adalah untuk membantu mereka yang tinggal di kawasan pendalaman dan sukar untuk ke PPV. Biar kita datang kepada mereka untuk memberikan vaksinasi kepada mereka," jelasnya.
 
 
Sementara itu, Pensyarah Kolej Matrikulasi Gopeng, Salehuddin Mohd berkata, pendekatan yang dilaksanakan PPV Klinik Briged Utara PGA dan JPNIN Perak adalah satu langkah yang baik dalam memudahkan urusan pemberian vaksin kepada masyarakat. 
 
Dia yang menemani anak lelakinya, Muhammad Arif Haqimy, 16, untuk mendapatkan suntikan vaksin turut menasihatkan ibu supaya merebut peluang yang ada agar semua pihak akan lebih berkeyakinan apabila sekolah dibuka semula seperti biasa. 
 
Sepanjang program ini berlangsung, pihak PPV Klinik Briged Utara PGA turut mendapat bantuan bagi melancarkan proses pemberian vaksinasi daripada sukarelawan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) MAYC Perak dan kakitangan JPNIN Perak. 
 
Pada program outreach MOVAK hari ini, seramai 366 orang telah diberikan suntikan vaksin dos pertama termasuk remaja berusia 15 tahun dan ke atas.