IPOH - Kes demam denggi di bandaraya ini mencatat peningkatan sebanyak 232.8 peratus berbanding tempoh sama pada tahun lalu.

Sehingga 6 Jun sebanyak 832 kes denggi direkodkan dengan satu kematian berbanding 250 kes pada tahun sebelumnya.

Sejak Januari sehinggga kini, sebanyak 113 wabak melibatkan 89 lokaliti di kawasan seliaan Unit Kawalan Vektor Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) manakala 21 wabak melibatkan 16 lokaliti di bawah pengawalan Pejabat Kesihatan Derah Kinta.

Selain itu, sebanyak 65 kes Chikungunya dilaporkan melibatkan 45 kawasan.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, antara kawasan 'hot spot' demam denggi ialah di Taman Klebang dengan 25 kes, Rancangan Perumahan Tersusun (RPT) Chepor (52), Kampung Simee (15), Cherry Apartment (11) dan Kampung Baru Pasir Pinji (21) 

Katanya, turut merekodkan kes ialah di Kampung Cempaka Sari sebanyak lapan kes, Kampung Sungai Tapah Tambahan (15) selain 26 lokaliti wabak di sekitar MBI.

“Antara punca peningkatan kes denggi disebabkan oleh faktor cuaca iaitu musim hujan yang berterusan.

"Selain itu, pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk menangani penularan wabak Covid-19 pula mengehadkan sesetengah aktiviti pemantauan.

“Bagaimana un, aktiviti semburan kabus dan siasatan kes masih diteruskan selain pembersihan kawasan semak samun persendirian. Tindakan ini akan dipergiatkan lagi selepas ini,” ujarnya. 

Beliau ditemui selepas meninjau operasi sampah haram MBI di Taman Rasi, Menglembu di sini, hari ini. 

Jelas Rumaizi, mulai hari ini, aktiviti pemeriksaan jentik-jentik di kawasan kediaman dan premis perniagaan akan dijalankan oleh anggota Unit Vektor MBI mengikut SOP Kementerian Kesihatan dalam Fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). 

“Pelaksanaan Pelan Tindakan Pencegahan & Kawalan Wabak Denggi di kawasan pentadbiran MBI akan digiatkan melibatkan semua jabatan dalaman MBI dengan slogan iaitu Denggi Adalah Urusan Semua Orang.

“Justeru, masyarakat diminta mengamalkan aspek kebersihan dengan mencari dan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk aedes di sekitar premis kediaman masing-masing,” katanya.