IPOH - Persatuan Maahad Tahfiz Al-Quran Negeri Perak (Pematap) menyarankan semua maahad tahfiz di negeri ini menubuhkan Jawatankuasa Khas Pandemik Covid-19 masing-masing sebagai persiapan untuk mengawal selia pelajar yang dibenarkan belajar semula mulai 15 Julai ini.

Ketika ini terdapat 81 buah maahad tahfiz di Perak dengan jumlah pelajar kira-kira 4,300 orang.

Pengerusi Pematap, Mohd Azlan Suhaimi berkata, jawatankuasa tersebut akan berperanan melaksanakan segala garis panduan norma baharu persekolahan seperti yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran (KPM).

Menurutnya, ia bertanggungjawab untuk melaporkan kemasukan pelajar secara rasmi kepada pihak berkuasa seperti polis, Pusat Kesihatan Daerah masing-masing dan Bahagian Pendidikan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk). 

“Walaupun tiada arahan daripada KPM, tetapi kita menganggap penubuhan jawatankuasa ini penting selain bagi memudahkan pihak berkuasa melakukan pemantauan lebih efektif.

"Jawatankuasa khas ini perlu senaraikan pelajar yang belum disaring Covid-19 dan diserahkan kepada Pusat Kesihatan Daerah untuk tindakan lanjut,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Azlan berkata, pihaknya turut dimaklumkan bahawa ada ramai dalam kalangan pelajar tahfiz yang tidak bermastautin di Perak masih belum melakukan ujian Covid-19.

“Tidak dinafikan, hampir keseluruhan maahad tahfiz yang berdaftar di bawah JAIPk telah melalui sekurang-kurangnya dua kali saringan iaitu Swab Test dan Ujian Darah serta nyah kuman di premis oleh bomba atau Pejabat Kesihatan Daerah.

“Jadi, kita menasihati jika ada dalam kalangan pelajar yang bergejala Covid-19, pihak maahad tahfiz hendaklah menghubungi pihak kesihatan segera dan memaklumkan juga kepada pihak JAIPk,” ujarnya.