IPOH- Negeri Perak kini mencatatkan sebagai negeri tanpa pesakit Covid-19  berikutan kenyataan baru menyatakan  kesemua pesakit yang disahkan positif wabak Covid-19 di seluruh negeri Perak telah dibenarkan pulang. 

Menteri Besar Perak,  Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata perkara itu telah dimaklumkan oleh Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Datuk Dr Ding Lay Ming hari ini.

“Sukacita saya juga dimaklumkan oleh Yang Berusaha Dato Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Perak bahawa, pada hari ini tiada lagi pesakit positif Covid-19 dirawat di hospital. 

“Hospital-hospital seluruh negeri Perak adalah zero pesakit Covid-19, alhamdulillah,” katanya kepada pihak media di Pejabat Menteri Besar hari ini. 

Beliau berkata demikian selepas menerima sumbangan barangan untuk keperluan petugas barisan hadapan dan sumbangan kewangan untuk Tabung Bencana dan Bantuan Sosial Kerajaan Negeri Perak bagi membantu rakyat yang terjejas akibat wabak Covid-19.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal mengingatkan rakyat di negeri itu untuk terus mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) walaupun banyak daerah di Perak telah diklasifikasikan sebagai Zon Hijau. 

“Dan untuk itu saya suka menyarankan pada semua rakyat jangan fikir PKP telah pun tamat. PKP masih ada, yang kerajaan umumkan adalah boleh naik kereta dua orang itupun untuk alasan yang benar-benar munasabah seperti membeli barang dan sebagainya.

“Perintah Kawalan Pergerakan masih berkuatkuasa, jika perlu keluar bersama dengan isteri atau berdua, dalam kenderaan, tetap penjarakan sosial itu mesti diamalkan dan sentiasa membersihkan tangan dengan betul. Itu saya fikir itu satu budaya baru yang kita perlu amalkan selama-lamanya,” ujarnya lagi. 

Dalam pada itu, Ahmad Faizal mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada syarikat berkanun negeri dan pihak swasta yang terus tampil membantu kerajaan negeri dalam memerangi wabak Covid-19 dan meringankan beban rakyat yang terkesan dengan pelaksanaan PKP.