IPOH - Jabatan Kesihatan Negeri telah menerima maklumat berkaitan mesej bergambar yang tular di media sosial berhubung seorang individu di bawah pengawasan (PUS) yang baru pulang dari luar negara sedang makan di sebuah tempat tumpuan awam di sini. 

Pengarah Kesihatan Perak, Datuk Dr Ding Lay Ming dalam satu kenyataan media semalam berkata, individu PUS itu dikenalpasti oleh orang awam berdasarkan gelang tangan berwarna merah jambu yang dipakai oleh individu tersebut.

"Pada gelang tersebut tertera tarikh 4/7/2020 dipercayai tarikh individu tersebut telah tiba ke tanah air melalui salah satu Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) negara.

"Berikutan itu, satu Jawatankuasa Penyiasat telah ditubuhkan di peringkat negeri dan daerah bagi menjalankan sisatan ke atas maklumat yang diterima.

"Jawatankkuasa ini turut dibantu oleh PDRM bagi memastikan kelancaran siasatan yang dijalankan.

"Tujuan siasatan adalah untuk menentukan berlakunya ketidakpatuhan PUS tersebut kepada arahan kuarantin yang telah dikeluarkan melaui Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah yang telah dikeluarkan oleh petugas kesihatan di mana-mana PMA negara kita", katanya.

Sekiranya individu ini disabit dengan kesalahan tindakan perundangan yang sewajarnya akan di ambil terhadapnya.

Kementerian Kesihatan menghargai kerjasama orang ramai melaporkan kejadian sebegini bagi membendung penularan jangkitan COVID-19 dalam komuniti.