Ipoh: Selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang berkuatkuasa pada 4 Mei 2020, Hospital Pakar KPJ Ipoh mengambil inisiatif menyediakan penghantaran ubat secara terus ke rumah pelanggan.

Ketua Pegawai Eksekutif KPJ Ipoh, Yusmah Salleh berkata, inisiatif ini untuk memudahkan pelanggan menerima bekalan ubat di samping memastikan pelanggan mematuhi PKPB yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan dalam usaha mencegah penularan wabak Covid-19.

“Kami berusaha untuk memastikan agar bekalan ubat pelanggan kami tidak terjejas sepanjang PKPB terutama bagi pelanggan yang menghidap penyakit kronik dan berisiko tinggi.

"Para pelanggan boleh membuat pesanan melalui talian +605 240 8777. Panggilan itu kemudian disambung ke klinik  berkenaan untuk semakan rekod kesihatan pelanggan.

"Kita akan memastikan khidmat rundingan doktor pakar yang berkenaan sebelum pemprosesan penghantaran ubat ke rumah. Pelanggan akan menerima ubat dalam tempoh 48jam selepas pembayaran secara talian (online)", katanya.

Perkhidmatan ini beroperasi pada hari Isnin dan Khamis, dari jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang dalam jarak 15 kilometer dari hospital dan ahli farmasi akan membuat penghantaran terus ke pelanggan dan penjarakkan sosial dengan pelanggan akan sentiasa dititikberatkan.

Menurut Yusmah, selain perkhidmatan penghantaran ubat terus ke rumah,  KPJ Ipoh turut menawarkan perkhidmatan penghantaran ubat melalui kurier bagi jarak melebihi 15 kilometer selain farmasi pandu lalu.

"Piihak KPJ Ipoh juga turut mengambil langkah berjaga-jaga yang ketat bagi memastikan semua pelanggan dan pesakit yang berada di dalam premis hospital bebas daripada wabak covid-19.

“Kesihatan semua pesakit, pelanggan, pelawat, pakar perubatan dan warga kerja adalah keutamaan kami dan kami sangat menitikberatkan langkah-langkah pencegahan dan sentiasa memastikan  perkhidmatan yang selamat dan terbaik buat semua,” katanya.