SEBAIK melangkah ke alam pekerjaan, kita perlu membuat persediaan untuk melangkah ke peringkat seterusnya misalnya berkeluarga, menyambung pengajian atau membantu keluarga.

Selain memberi sumbangan kepada ibu bapa dan membuat simpanan, satu perkara lagi yang cukup penting ialah memiliki polisi insurans atau takaful. Ini kerana prinsip asas insurans atau takaful adalah sebagai pelindung apabila berhadapan risiko.

Secara asasnya juga, polisi insurans atau takaful bukan diambil untuk diri sendiri  tetapi orang yang kita tinggalkan sekiranya kita meninggal dunia misalnya ibu bapa, isteri, anak-anak atau orang tersayang. Mereka yang akan menerima manfaat.

Insurans atau takaful pun berbeza-beza misalnya ada insurans hayat, insurans kesihatan, kad perubatan dan polisi perlindungan pendapatan.

Jadi perlu atau tidak ada polisi insurans atau takaful?

Jawapanya, perlu tetapi hendaklah mengikut kemampuan poket untuk membayar premium bulanan.

 Setidak-tidaknya ambilah satu polisi atau takaful (sama ada hayat atau kesihatan) umpama sediakan payung sebelum hujan. Jangan dengar bulat-bulat kata ejen insurans atau takaful semasa menawarkan polisi kerana agen hanya boleh mencadangkan sahaja.

Polisi insurans paling mahal juga tidak semestinya paling baik tetapi pilihlah polisi yang benar-benar anda perlu. 

Selain itu, bagi golongan pekerja, kita juga dilindungi insurans menerusi caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).Skim Perkeso ini akan melindungi jika kita ditimpa musibah semasa pergi, balik atau sedang bekerja.

Selain itu, ada bermacam-macam lagi perlindungan yang diberi termasuklah pampasan sekiranya kita hilang pekerjaan akibat diberhentikan.