PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan sehingga hari ini, terdapat 317 kes positif Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak 12 tahun ke bawah dengan Selangor mencatatkan jumlah tertinggi iaitu sebanyak 77 kes. 

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, selain Selangor, negeri yang turut mencatat jumlah kes tertinggi termasuklah, Negeri Sembilan (48), Johor (46), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (28), serta Sabah (26).

Beliau berkata, 112 kes atau 35 peratus kes yang dilaporkan membabitkan kanak-kanak berusia empat tahun ke bawah dan 22 kes melibatkan bayi berusia kurang setahun.

Bagaimanapun, katanya, setakat ini, tiada kes kematian dicatatkan dalam kalangan kanak-kanak di bawah 12 tahun. 

Menurutnya, ibu bapa, penjaga serta ahli keluarga yang lebih tua perlu memberikan perhatian yang lebih kepada kanak-kanak dan bayi bagi melindungi mereka daripada bahaya jangkitan Covid-19.

"Ibu bapa dan penjaga perlu memberi didikan kepada kanak-kanak supaya mereka dapat mengamalkan tahap kebersihan tinggi. 

"Mereka perlu menasihati kanak-kanak terbabit supaya sentiasa mencuci tangan dengan air dan sabun, serta sangat digalakkan memakai pelitup muka di kawasan umum," katanya pada sidang media di sini hari ini.