IPOH - Operasi rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini masih berjalan seperti biasa sekali gus menolak mesej tular yang mengatakan situasi di situ berasa pada tahap membimbangkan.

Kelmarin tular dalam media sosial mengenai situasi di hospital berkenaan dikatakan membimbangkan berikutan peningkatan kes Covid-19.

Pengarah HRPB, Dr Abdul Malek Osman berkata, mesej itu adalah palsu.

“Keadaan semasa di hospital masih terkawal dan perkhidmatan hospital berjalan lancar seperti biasa,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, orang ramai diingatkan agar tidak menularkan sebarang berita atau maklumat yang tidak sahih.

“Ini bagi mengelak ia mencetuskan kebimbangan dan kekeliruan dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Abdul Malek juga menasihatkan orang ramai agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan bagi mengelak jangkitan Covid-19.

“Kurangkan pergerakan ke tempat-tempat awam semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.

“Selain itu, pemakaian penutup muka dan cecair nyah kuman hendaklah sentiasa diamalkan setiap kali hendak berurusan di tempat awam,” katanya.

Di Kuala Lumpur, kadar kebolehjangkitan (Rt) Covid-19 mengikut kes harian untuk seluruh negara semalam berada di tahap 1.14, dengan Perak mencatat Rt tertinggi pada 1.32.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi infografik yang dikongsikan di akaun Twitter beliau memaklumkan, Terengganu merekodkan nilai Rt kedua tertinggi iaitu pada 1.29.

Turut dinyatakan ialah Kedah (1.22); Pulau Pinang (1.21); Melaka (1.18); Selangor dan Johor (masing-masing 1.17); Negeri Sembilan (1.12); Pahang (1.11) serta Kuala Lumpur (1.10).

Bagi negeri dan wilayah yang mencatat bacaan di bawah satu pula ialah Putrajaya (0.99); Sarawak (0.98); Kelantan (0.94) dan Sabah (0.89).