IPOH – Sebanyak 203 kes baharu dilaporkan di Perak hari ini oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melibatkan 197 kes adalah jangkitan tempatan dan enam jangkitan dari luar Perak.

Angka ini menunjukkan pertambahan berbanding 115 kes baharu semalam melibatkan 109 kes tempatan dan enam kes jangkitan luar.

Daerah Kinta mencatatkan 69 kes iaitu empat kes saringan kluster sedia ada iaitu Kluster Lorong Taman Ipoh Dua dengan jumlah keseluruhan bagi kluster ini adalah 25 kes.

Sebanyak 55 kes pula adalah jangkitan tempatan, satu saringan prapenerbangan ke Indonesia dan satu kes saringan di pusat kesihatan.

Daerah Hulu Perak pula merekodkan 34 kes dengan sembilan kes saringan kluster baharu iaitu Kluster Jalan Kuak Luar dengan jumlah keseluruhan kluster ini ialah 21 kes.

Kes-kes di daerah lain pula ialah Manjung (34), Hilir Perak (22), Kerian (20), Larut Matang Selama (17), Batang Padang (tiga), Kampar (dua) manakala Muallim dan Kuala Kangsar masing-masing satu kes.

Dalam pada itu, satu kluster baharu ditemukan di Kinta semalam iaitu Kluster Jalan Abdul Hamid iaitu di Jalan Abdul Hamid, Kampung Melayu Sungai Rapat di Ipoh.

Kes ini dikesan pada 11 Mei lalu dengan jumlah kes sebanyak 19 dengan 60 saringan dilakukan.