IPOH - Kesiapsiagaan kerajaan negeri Perak dalam menghadapi penularan wabak Covid-19 dipertingkatkan apabila kapasiti Pusat Rawatan Covid Risiko Rendah (PKRC) di Stadium Badminton Ipoh di sini ditambah daripada 208 kepada 308 katil.

Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad berkata, pada masa sama kerajaan negeri juga sedang mengenal pasti lokasi PKRC yang baharu sama ada di zon utara atau di kawasan Hilir Perak/Manjung sebagai persediaan menghadapi kemungkinan berlaku peningkatan kes jangkitan yang berlarutan.

Menurutnya, ini kerana Perak tidak lagi boleh bergantung kepada PKRC di MAEPS Serdang, Selangor atau di Jawi, Seberang Perai di Pulau Pinang memandangkan kedua-dua pusat rawatan tersebut juga menghadapi peningkatan jumlah pesakit.

“Selain itu kerajaan negeri telah bersetuju untuk menyediakan peruntukan makan minum kepada petugas-petugas di pusat pemberian vaksin (PPV) sebagai sokongan berterusan khususnya kepada petugas barisan hadapan yang terus berjuang memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

“Bagaimanapun, saya memohon agar semua PPV ini dapat sentiasa memastikan kepatuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) dan bersiap siaga dengan kawalan agar tidak berlaku kesesakan yang boleh membawa kepada risiko penularan kluster baharu,” ujarnya dalam kenyataan di sini.

Langkah ini diambil bagi menampung unjuran kes positif yang dijangka meningkat dalam tempoh tiga hingga empat minggu akan datang.

Sehingga semalam, sebanyak 160 kes baharu yang dilaporkan di negeri ini dengan 153 kes adalah jangkitan tempatan dan tujuh kes jangkitan dari luar manakala jumlah kes semasa adalah 2,078.

Daerah Kinta merekodkan 63 jangkitan dengan tiga kes dari saringan kluster baharu iaitu Kluster Jalan Seri Sutra di Bandar Seri Botani, Ipoh manakala jumlah keseluruhan kes dari kluster ini di Perak ialah 16 kes.

Dalam pada itu kata Saarani, kerajaan Perak juga telah mengagihkan sebanyak 20,000 unit relefon pintar untuk Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bagi program Tuisyen Cikgu Saarani selepas mendapat maklumat pelajar yang layak daripada pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

Katanya lagi, bagi melicinkan proses pengedaran dan mengelakkan program berkelompok, kerajaan negeri akan menyalurkan bantuan telefon pintar melalui pejabat Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri mulai Sabtu ini.

PdPR akan dilaksanakan mulai minggu ini susulan penutupan sekolah kerana penularan wabak Covid-19.