IPOH - Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di empat mukim di Perak bermula Sabtu ini sehingga 14 Jun. 

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan terdapat peningkatan kes Covid-19 sebanyak 119.3 peratus di seluruh negeri ini bagi tempoh 14 hari (5 Mei sehingga 18 Mei) iaitu 2,035 kes berbanding 928 kes (12 April sehingga 4 Mei) dan peningkatan kes ini turut membabitkan keempat-empat mukim tersebut.
 
Empat mukim tersebut adalah daerah Hulu Perak (Mukim Pengkalan Hulu); daerah Larut, Matang dan Selama (Mukim Taiping); daerah Kinta (Mukim Hulu Kinta meliputi Ipoh, Lahat, Chemor dan Tanjong Rambutan) dan daerah Muallim (Mukim Hulu Bernam Timur). 
 
Kerajaan membuat keputusan untuk melaksanakan PKPD selepas penilaian risiko dilakukan bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP.
 
Pelaksanaan PKPD ini untuk mengawal pergerakan penduduk di kesemua mukim seterusnya mengekang penularan jangkitan Covid-19 ke komuniti lain.
 
Selain Perak, PKPD turut dilaksanakan di beberapa lokaliti di Terengganu, Pahang, Kelantan, Sabah dan Sarawak.