Mengulas pada sidang kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, beliau menasihatkan kepada golongan berisiko tinggi agar tidak berada di tempat tumpuan awam sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Beliau berkata kanak-kanak berusia di bawah 12 tahun dan warga emas 60 tahun ke atas adalah lebih baik tinggal di rumah bagi mengelakkan sebarang kemungkinan jangkitan pendemik Covid-19.

"Warga emas yang mempunyai sejarah penyakit kronik terutamanya harus mematuhi arahan ini. Begitu juga ibu bapa diharapkan dapat memastikan bahawa anak-anak mereka tidak dibawa ke tempat-tempat tumpuan awam iaitu hospital dan pasaraya.

"Menjelang musim perayaan ini diharapkan janganlah membawa anak-anak ke pasaraya untuk membeli belah. Kita bimbang akan gejala jangkitan kuman terjadi. Bersabarlah demi kesejahteraan kita bersama", katanya.