IPOH - Masih ramai rakyat Malaysia dengan penuh sabar menunggu giliran untuk menerima suntikan vaksin walaupun sudah lebih 100 hari mendaftar untuk berbuat demikian di aplikasi MySejahtera termasuk platform-platform lain yang berkaitan.

Di Perak, sehingga 4 Jun, seramai 185,710 individu telah menerima dos pertama manakala 105,432 individu lagi sudah selesai suntikan dos kedua. 
 
Mengikut rekod, setakat ini seramai 13 juta individu telah mendaftar  untuk mendapatkan suntikan vaksin ini. 
 
Sehingga semalam, 4 Jun, seramai 3,420,713 rakyat Malaysia sudah menerima dos suntikan vaksin pertama dan kedua dengan pecahan 2,293,377 bagi dos pertama dan 1,127,336 bagi dos kedua.
 
Sehingga kini, di Malaysia jenis vaksin yang diberikan adalah Pfizer-BionTech, Sinovac dan AstraZeneca. 
 
Melalui suntikan vaksin sekurang-kurangnya dapat membantu meningkatkan imunisasi badan dan mencegah daripada Covid-19 terus menular di negara ini. 
 
Justeru, semua kementerian dan agensi kerajaan yang terbabit perlu cakna dan menggunakan semua aset kerajaan bagi mempermudahkan untuk rakyat mendapat vaksin dengan kadar segera. 
 
Inisiatif Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) yang bertindak membuka pendaftaran untuk orang ramai mendapatkan vaksin AstraZeneca adalah salah satu langkah yang baik bagi mempercepatkan proses suntikan vaksin dijalankan. 
 
Bagaimanapun, orang ramai yang mendaftar dengan aplikasi MySejahtera wajar diberi perhatian memandangkan mereka telah menunggu terlalu lama untuk mendapatkan suntikan vaksin tersebut.
 
Sebelum ini media melaporkan, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dilaksanakan dalam tiga fasa bermula 24 Februari lalu dengan Fasa 1 dari Februari hingga April 2021 untuk kumpulan petugas barisan hadapan melibatkan 500,000 orang.
 
Fasa 2 pula iaitu dari April hingga Ogos membabitkan kumpulan warga emas berumur 65 tahun ke atas, golongan berisiko tinggi serta orang kurang upaya membabitkan 9.4 juta orang, manakala Fasa 3 dari Mei 2021 hingga Februari 2022 untuk penduduk di Malaysia berumur 18 tahun ke atas - warganegara dan bukan warganegara - dengan sasaran lebih 13.7 juta orang.
 
Namun persoalannya, sempatkah pemberian dos vaksin ini selesai mengikut perancangan awal yang telah ditetapkan? 
 
Semoga segala kelemahan dalam program pemberian vaksin ini dapat diperbaiki dan ditambah baik dari semasa ke semasa.  
 
Kita sebagai rakyat pula harus terus bertanggungjawab mendisiplinkan diri masing-masing dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), duduk di rumah dan jangan keluar jika tiada keperluan. 
 
*Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis.