PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjangkakan jumlah kes positif Covid-19 di depoh tahanan imigresen (DPI) bertambah pada hari ini, esok dan lusa. 

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, walaupun kes dijangka akan meningkat, rakyat tidak perlu bimbang kerana KKM telah melaksanakan langkah-langkah terbaik bagi mencegah penularan wabak tersebut. 

Menurutnya, ujian telah dijalankan ke atas tahanan DPI dan pihaknya sedang menunggu keputusan ujian yang hanya diketahui dalam tempoh 24 jam akan datang. 

"Mereka yang positif diasingkan dan dibawa terus ke hospital dan mereka yang negatif, kami asingkan mereka dan kuarantin mereka di tempat sesuai," katanya pada sidang media harian di sini. 

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan sebanyak 172 kes baharu Covid-19 dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kes kumulatif virus berkenaan di Malaysia  sebanyak 7,417 kes.