IPOH - Siapa sangka basikal lama yang berusia lebih 40 tahun membawa tuah kepada Abdul Manap Abdul Rahman, 46, yang menjadi pemenang Pertandingan Fotografi Kemerdekaan yang diadakan baru-baru ini.
 
Guru Matematik Sekolah Kebangsaan (SK) Buntong itu antara 200 peserta yang menyertai pertandingan anjuran Ahli Majlis Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) Zon 1 (Hulu Kinta) Datuk Mazlan Abd Rahman sempena sambutan Hari Kebangsaan pada bulan lalu. 
 
Menurutnya, gambar kemenangannya itu diambil di Pekan Tambun ketika dalam perjalanan ke rumah ibu mertuanya di Kampung Tersusun Batu 5, Tambun.
 
"Pada ketika itu, saya membawa basikal lama yang dibeli di Taiping kira-kira lima tahun itu bersama dan terus merakamkan gambar berkenaan," katanya ketika ditemui Peraktastic selepas selesai acara penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan itu di Dewan Mesyuarat MBI hari ini. 
 
Abdul Manap membawa pulang wang tunai RM500 serta hamper dan hadiah disampaikan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md Daud. 
 
Seramai 10 orang peserta turut memenangi hadiah saguhati dengan masing-masing menerima wang tunai RM50 dan hamper.
 
Pemenang tempat kedua, Mohd Elyas Mohd Bakri, 36, yang memenangi hadiah wang tunai RM250 dan hamper pula berkata, gambar yang dihantar untuk menyertai pertandingan itu diambil sewaktu guru-guru di Sekolah Rendah Agama (SRA) Tarbiyyah Islamiyyah, Tanjung Rambutan sedang menghiasi sekolah dengan Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kemerdekaan. 
 
"Walaupun sekolah masih belum dibuka akibat pandemik Covid-19 namun saya bersama guru-guru lain tetap bersemangat membuat persediaan bagi menyemarakkan Hari Kebangsaan pada tahun ini," ujarnya. 
 
Gambar Muhammad Ridzuan Mohd Basha, 31, salah seorang guru sekolah terbabit yang membuat persediaan untuk memasang Jalur Gemilang dipilih Mohd Elyas untuk menyertai pertandingan itu. 
 
Sementara itu, Mazlan ketika ditemui berkata pertandingan fotografi ini adalah salah satu pengisian terutamanya bagi generasi muda untuk memperingati sejarah Hari Kemerdekaan. 
 
Katanya, peserta dapat menterjemahkan hasil kreativiti masing-masing melalui gambar yang dihantar dengan menunjukkan semangat kecintaan kepada negara serta hidup bertoleransi tanpa mengira kaum dan agama. 
 
"Pertandingan ini juga secara tidak langsung dapat mempromosikan tempat-tempat menarik di sekitar Dewan Undangan Negeri (Dun) Hulu Kinta seperti Air Terjun Ulu Kinta, perniagaan limau Tambun, Lost World of Tambun dan sebagainya. Dalam masa sama, dapat membantu dalam menaik taraf ekonomi terutamanya bagi sektor pelancongan di kawasan berkenaan," jelasnya.