IPOH - Kementerian Kesihatan harus mengamalkan prinsip ‘tanpa buang masa’ dan memulakan vaksinasi golongan remaja bawah umur 18 tahun di negeri Perak dengan segera demi mempercepatkan proses vaksinasi di negeri kita.

Semalam, Jabatan Kesihatan Negeri Perak telah membuka kesemua pusat pemberian vaksin (PPV) awam untuk penerimaan vaksin secara datang terus atau ‘walk-in.

Ahli Parlimen Ipoh Timor, Wong Kah Woh berkata, ini jelas menunjukkan temujanji untuk mereka yang telah berdaftar telah hampir selesai dan PPV awam sekarang telah bersedia dan berupaya untuk menerima penerima-penerima vaksin untuk golongan yang seterusnya.

Tegas beliau yang juga Setiausaha DAP Perak, ketika ini data menunjukkan terdapat 287,646 orang lagi yang telah mendaftar untuk mendapatkan vaksin masih sedang menunggu temujanji untuk dos 1.

“Dengan kapasiti PPV yang sedia ada, jumlah ini dapat diselesaikan dalam masa seminggu.

“Persoalan yang sering ditanya sekarang adalah bilakah anak-anak berusia 12 tahun ke atas dibenarkan untuk menerima vaksinasi, khasnya apabila sebahagian daripada mereka memulakan sesi persekolahan secara bersemuka 3 Oktober nanti.

“Kebimbangan ibu-bapa adalah suatu perkara yang harus ditangani,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jelas Kah Who, sementara PPV sedia ada di Perak menunggu untuk menyelesaikan golongan yang telah mendaftasr, maka kerjaaan membenarkan PPV ini untuk memberikan vaksinasi pada golongan remaja bawah 18 tahun.

“Saya percaya banyak PPV di Perak menghadapi kekurangan calon penerima vaksin sekarang dan kerajaan harus bersikap tidak buang masa dalam isu ini dan membuka vaksinasi untuk mereka yang berumur 18 ke bawah.

“Pencapaian Perak dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) tidak begitu memuaskan dan hanya menduduki tempat keempat dengan hanya 40.4 peratus daripada jumlah populasi di negeri ini atau 54.4 peratus daripada jumlah populasi dewasa telah lengkap divaksin,” ujarnya.

Justeru, kerajaan negeri harus mengambil sikap yang lebih aggressif dalam memberikan cadangan dengan fakta dan data kepada kerajaan Pusat dalam meningkatkan usaha ini, dan salah satunya menerusi vaksinasi kepada golongan remaja dengan segera.