IPOH- Pengerusi Persatuan Pesara Majlis Bandaraya Ipoh (Permai), Dato’Rafiai Moktar menyampaikan sumbangan kepada 105 orang ahli Permai.

Menurutnya, menerusi pengkalan data Permai seramai 105 orang ahli telah dikenal pasti layak menerima bantuan yang bertujuan meringankan sedikit bebanan ekoran kesan dari pandemik Covid-19.

“Kita mengutamakan golongan pesara MBI dari kategori B40 dan kebawah. Permai telah memutuskan untuk menyalurkan bantuan sebanyak RM100.00 kepada setiap ahli terpilih.

“Hari ini kita menyampaikan bantuan kepada kepada lima orang ahli, sementara baki seramai 100 orang lagi akan dibayar melalui pindahan bank.

“Selain bantuan kewangan secara ‘one-off’ ini, Permai juga memberi bantuan kepada ahli yang dirawat dihospital atau yang meninggal dunia. Kita juga mengalu-alukan pesara-pesara baru untuk berdaftar menjadi ahli Permai dengan yuran keahlian sebanyak RM30,” katanya selepas Majlis Penyampaian Bantuan Ahli Permai di Pejabat Permai hari ini.

Permai ditubuhkan pada 2009 dan keahliannya kini seramai 180 orang. Objektif penubuhannya bertujuan menjaga kebajikan dan mengeratkan hubungan pesara-pesara Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).

Menurut Rafiai, pada 19 Mei 2020 lalu Permai telah menjayakan program bantuan kotak makanan asas bernilai RM70 kepada setiap orang yang terlibat.

“Permai menghargai segala bantuan dan sokongan dari MBI selama ini dan berharap ianya akan berterusan dan ribuan terima kasih,” ujarnya.