Ipoh- Susulan pengumuman Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin semalam mengumumkan pembukaan sekolah secara bersemuka pada 3 Oktober 2021 mengikut Fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) mendapat perhatian umum.

Berbagai reaksi pro dan kontra dari orang ramai khasnya ibu bapa dan penjaga berdasarkan kes pandemik Covid-19 di negeri ini.

Akmar Rozana Abd Rahman, 47, dari Bandar Baru Meru berkata kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Kanan Pendidikan itu mewujudkan kebimbangan terhadap anaknya yang mengalami penyakit kanser pangkal otak (Brainsteam Glioma) yang berisiko tinggi dan memerlukan pemantauan rapi terutamanya keadaan pandemik Covid-19 sekarang ini.

“Saya memilih untuk tidak menghantar anak ke sekolah berkeperluan khas (OKU) kerana anak saya masih dalam rawatan kemoterapi serta memerlukan penjagaan rapi.

“Saya mengkuatiri ketahanan imunisasi tubuh anak saya sekiranya dia menghadiri kelas bersemuka memandangkan wabak Covid-19 masih tidak menunjukkan penurunan yang memberangsangkan dan kita masih di Fasa ke-2 PPN.

“Saya lebih selesa dengan pendekatan Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) kerana saya berpeluang memantau tahap kesihatan anak saya serta mengikuti kelas PDPR dengan baik,” kata ibu kepada Aliah Syamira Badrul Hisham, 14 tahun, bersekolah di Sekolah Pendidikan Khas, Sekolah Kebangsaan Chepor.

Menerusi pengumuman itu, pengoperasian pembukaan sekolah tanpa penggiliran melibatkan pelajar tingkatan enam di semester dua; International Baccalaurete Diploma (IBD) tahun dua; pelajar tahun tiga pra universiti Sekolah Sukan Malaysia; murid berkeperluan khas (OKU) di sekolah rendah keperluan khas rendah/menengah dan murid yang menduduki peperiksaan antarabangsa (IGSC O-level, A-level, Australia Higher School Certificate dan International Baccalaurette Diploma Programme:IBDP). Manakala bagi sekolah rendah dan menengah masih menggunakan kaedah Pembelajaran dan Pengajaran di rumah (PdPR).

Sementara itu, S. Rajeswary, 49, dari Ipoh berkata anaknya K. Santhene, 19, penuntut tingkatan enam Kolej Tingkatan Seri Ipoh, semester dua berkata beliau bersetuju dengan kenyataan Menteri Kanan Pendidikan semalam.

“Saya menyambut baik pembukaan semula sekolah secara bersemuka kerana menerusi pembelajaran PdPR yang telah berlangsung selama dua bulan, saya dapati pelbagai masalah dihadapi oleh anak saya.

“Suasana pembelajaran secara PdPR memberi banyak tekanan seperti masalah kelancaran internet,  kesan kepada kesihatan terutamanya penglihatan dan gagal memberi tumpuan sepenuhnya sewaktu pembelajan di rumah.

“Anak saya juga telah mendapat suntikan vaksin dos pertama dan kedua pada 30 September 2021 ini. Oleh itu saya yakin keselamatan anak saya terjamin dan boleh mengikuti kelas dengan baik di samping mematuhi Prosedur Keselamatan Standard (SOP) yang telah ditetapkan,” tegasnya.