IPOH - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) memohon maaf di atas gangguan membabitkan perkhidmatan kutipan sampah dan pembersihan awam yang berlaku di beberapa kawasan di sekitar bandar raya Ipoh pada masa ini.
 
Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan MBI hari ini, perkara itu berlaku berikutan terdapat beberapa pekerja syarikat konsesi LTC Alam Bersih Sdn Bhd yang disahkan positif Covid-19 sejak hujung minggu lalu sehingga kini. 
 
Pada masa sama, sebahagian pekerja syarikat terbabit yang tinggal di asrama pekerja adalah kontak rapat kepada kes ini dan diarah menjalani proses kuarantin. 
 
Sehubungan itu, jadual perkhidmatan kutipan sampah yang diuruskan oleh syarikat konsesi LTC Alam Bersih Sdn Bhd di kawasan bandar raya ini telah terganggu. 
 
Bagaimanapun, MBI akan sentiasa memastikan perkhidmatan kutipan sampah dan pembersihan awam tidak menimbulkan banyak masalah serta akan cuba sedaya upaya untuk mengatasinya sebaik mungkin. 
 
Justeru, MBI memohon kerjasama daripada warga Ipoh untuk meletakkan sampah domestik di dalam tong sampah masing-masing bagi memudahkan proses kutipan sampah ini diuruskan oleh pihak majlis. 
 
Dalam perkembangan berkaitan, terdapat sebahagian anggota di Bahagian Perkhidmatan Bandar MBI turut disahkan positif Covid-19 dan sedang menjalani proses kuarantin.
 
Sehubungan itu, warga Ipoh boleh menghubungi hotline MBI di talian 05-255 1515 atau menghantar mesej melalui aplikasi Whatsapp di 019-550 3083 jika menghadapi sebarang masalah berkaitan kutipan sampah dan pembersihan.