TAPAH - Pelbagai jenis rokok dan minuman keras tanpa kelulusan Jabatan Kastam Diraja Malaysia yang dianggarkan bernilai RM2.02 juta dirampas dalam serbuan di sebuah premis di Jalan Stesen di sini awal pagi tadi.

Serbuan pukul 2.15 pagi yang dilakukan Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) itu turut menahan dua lelaki disyaki penyeludup.

Timbalan Komander PGA Briged Utara, Asisten Komisioner Mohd. Noh Khamis berkata, serbuan itu hasil maklumat dan risikan menerusi Op Kontraban yang dijalankan Cawangan Risik Briged Utara.

Menurut beliau, serbuan di premis yang dijadikan stor penyimpanan itu membawa kepada penemuan 4,105 karton pelbagai jenis rokok, 38,628 tin arak dan 3,421 botol minuman keras.

"Turut dirampas sebuah lori dan kenderaan pacuan empat roda.

"Penyeludupan dilakukan dengan menggunakan lori dan bungkusan plastik untuk mengelak dikesan oleh pihak berkuasa," katanya pada sidang media di Batalion 3 PGA, Kem Bidor di sini petang tadi.

Kumpulan itu dipercayai telah aktif sejak enam bulan lepas dengan mengedarkan barangan seludupyang  diperolehi di Lembah Klang ke kawasan perkampungan Orang Asli.

Barangan ini turut dibekalkan kepada kedai runcit di Bidor, Kampar, Tapah, Teluk Intan dan Cameron Highlands di Pahang.

Mohd. Noh berkata, kedua-dua lelaki berusia 51 dan 59 tahun itu ditahan bersama rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tapah untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, Seksyen 20(1) dan Seksyen 74(1) Akta Eksais 1976.

"Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan ini supaya menghubungi Cawangan Risik dan Gerakan Briged Utara menerusi talian 05-5406666 bagi membantu siasatan," ujarnya.