IPOH - Laluan Persekutuan FT185 Jalan Simpang Pulai ke Blue Valley, Cameron Highlands Kilometer 43.95 kini dibuka bagi kenderaan ringan melalui lencongan sementara yang siap dibina.

Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam satu kenyataan memberitahu, pembukaan jalan lencongan sepanjang 450 meter (m) itu tidak melibatkan kenderaan berat.

Menurut kenyataan itu, lencongan bersebelahan lokasi kejadian jalan runtuh itu merupakan laluan sementara untuk kenderaan ringan tidak melebihi lima tan.

"Pengguna kenderaan berat dinasihatkan menggunakan laluan alternatif FT59 Jalan Tapah ke Cameron Highlands sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

"Kerja-kerja kawalan dan pembaikan cerun runtuh sedang giat dilaksanakan di tapak demi keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya.

“Pengguna jalan raya juga diingatkan sentiasa mematuhi arahan dan tanda arah lencongan ketika menggunakan jalan itu bagi mengelak kejadian tidak diingini,” kata kenyataan itu.

Sebelum ini, laluan tersebut ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan berikutan kejadian jalan runtuh sepanjang 30 meter akibat hujan lebat berterusan.

Dalam kejadian 17 September lalu, laluan di Seksyen 43.9 ditutup kepada pengguna jalan raya bermula pukul 9 malam.

Kejadian berpunca daripada cerun runtuh disebabkan hujan berterusan yang menyebabkan struktur tanah lemah dan tidak kukuh.