GOMBAK –Usahawan kosmetik yang dikehendaki polis, Nur Sajat dipercayai telah menukar nama samarannya sebagai Bella selain memiliki kad pelarian Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR).

Dia dikatakan berbuat demikian ketika bersembunyi di Thailand dan kini sedang menunggu tawaran pihak negara ketiga untuk menetap di sana.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan berkata, polis akan meneruskan usaha berpandukan undang-undang sedia ada untuk membawa dia pulang ke Malaysia.

"Kes Nur Sajat itu merupakan kes kecil sahaja melibatkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan PDRM iaitu menghalang tugas penjawat awam, jadi pulang sahajalah ke tanah air.

“Kami juga yakin keluarga Nur Sajat boleh membantu menasihatkannya untuk pulang bagi menghadapi pertuduhan yang bagi kami tidaklah seberat mana,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed dan Ketua (JSJ) Selangor, Senior Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd. Faisal.

Pada sidang akhbar itu polis turut mengedarkan salinan kad pelarian UNHCR milik usahawan kosmetik itu yang nama sebenarnya
Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman.

Media sebelum ini melaporkan bahawa pihak polis dalam proses membawa pulang Nur Sajat.

Ini kerana Malaysia dan Thailand terikat dengan perjanjian bagi membolehkan proses untuk membawa pulang orang yang dikehendaki atau penjenayah buruan dilaksanakan.