PANGKOR - Tindakan pantas anggota bomba berjaya menyelamatkan seorang mangsa dalam kebakaran melibatkan dua buah rumah berhampiran pejabat pos Pulau Pangkor di sini petang tadi.

Semasa kejadian, penghuni tersebut berada di dalam sebuah rumah bersebelahan dengan kediaman yang sedang terbakar itu.

Kepulan asap hitam yang boleh dilihat akibat kebakaran itu juga menyebabkan penduduk berdekatan cemas.

Jurucakap Bilik Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Perak memberitahu, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada pukul 3.56 petang.

Menurut jurucakap tersebut, sepasukan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Pulau Pangkor bergegas ke tempat kejadian bagi memadamkan api.

"Setibanya bomba di tempat di lokasi, api sedang marak membakar sebuah rumah tetapi tiada mangsa yang terlibat.

"Manakala sebuah rumah bersebelahan berjaya diselamatkan dengan hanya mengalami kebakaran kecil sahaja," ujar jurucakap itu.

Semasa kejadian terdapat seorang penghuni dalam rumah kedua itu dan anggota bomba terus bertindak menyelamatkan mangsa yang tidak mengalami kecederaan.

Operasi pemadaman menggunakan sumber pili bomba sehingga kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya.

Operasi yang diketuai PPgB Shah Al Hafiz Mohd. Redzuan tamat sepenuhnya pada pukul 5.48 petang.