IPOH - Bakal Raja Sehari di negeri ini boleh menarik nafas lega berikutan kebenaran mengadakan majlis akad nikah mulai hari ini selaras dengan Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 2 bagi Perak.

Perkara itu diumumkan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dalam satu surat pekeliling yang dikeluarkan semalam.

Pengarah JAIPk, Datuk Mohd. Yusop Husin berkata, pelaksanaan itu bagaimana pun tertakluk pada beberapa prosedur ditetapkan berikutan negeri ini masih belum bebas sepenuhnya daripada Covid-19.

"Prosedur itu ialah majlis boleh diadakan di tiga tempat iaitu premis swasta meliputi hotel, inap desa dan dewan serbaguna.

"Lokasi lain dibenarkan ialah di pejabat agama Islam di seluruh negeri serta Pejabat Ketua Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Orang Islam negeri Perak," katanya dalam surat pekeliling tersebut.

Jumlah kehadiran pula tidak melebihi 50 peratus kapasiti keluasan premis yang digunakan itu manakala tempoh masa majlis tidak melebihi satu jam 30 minit.

Menurut Mohd. Yusop, majlis jamuan tidak dibenarkan sebaliknya makanan hanya disediakan dalam bentuk bungkusan manakala tetamu perlu patuh pada protokol kesihatan yang ditetapkan.

"Pemeriksaan suhu badan, mengimbas MySejahtera, penjarakan sosial, memakai pelitup muka sepanjang majlis berlangsung serta kerap membasuh tangan.

"Individu yang dikuarantin, bergejala dan dari lokasi dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat tidak dibenarkan hadir pada majlis tersebut," ujarnya.