Ipoh- Aspek kebersihan dan keselamatan di pasar-pasar awam menjadi keutamaan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dalam menjamin keselesaan penjaja dan pengunjung.

Penguasa Pasar, Jabatan Kesihatan MBI, Faizalhawafiz Abdul Wafar berkata kerja-kerja pembersihan tetap dilaksanakan setiap hari mengikut jadual yang telah ditetapkan.

“Kerja-kerja pembersihan wajid dilakukan mengikut rutin harian tanpa henti. Seramai 11 orang kakitangan akan memulakan tugas pembersihan seawal 6.45 pagi hingga 4.00 petang di Pasar Besar UTC ini.

“Kerja-kerja pembersihan seawal pagi dimulakan di kawasan ‘rumah sampah’ yang terletak di luarkan kawasan pasar, seterusnya di bahagian dalam seperti kawasan gerai daging, sayur, tingkat gerai makanan dan bahagian letak kereta.

“Kerja pembersihan bahagian dalam pasar selalunya dipergiatkan sewaktu pengujung telah berkurangan dan gerai-gerai ditutup diantara jam 2.00 petang bagi mengelakkan kesesakan dan menganggu kepada pengunjung,” katanya kepada Peraktastik sewaktu ditemubual hari ini.

Faizalhawafiz juga menjelaskan kejadian takungan air di bahagian bawah pakir kereta baru-baru ini adalah kesan daripada hujan lebat yang berpanjangan.

Kejadian takungan air itu jarang berlaku kecuali hujan yang lebat tanpa henti. Katanya, saliran air di bahagian bawah telah melimpah dan menolak air keatas sehingga menyebabkan takungan air berlaku.

“Pembersihan takungan air ini akan segera dilakukan termasuk di bahagian longkang-longkang dalam memastikan tiada ganguan saliran tersumbat.

“Sebagai langkah pencegahan, kami telah membuat laporan kepada pihak kejuruteraan untuk mengkaji dan membaik pulih semula struktur saliran bawah tanah,” katanya.

Difahamkan terdapat 19 buah pasar di seluruh bandar raya Ipoh yang dikelolakan di bawah MBI. Antara pasar-pasar popular yang menjadi tumpuan ramai ialah Pasar Besar UTC, Pasar Borong, Pasar Besar Kampung Simee, Pasar Pasir Pinji, Pasar Gunung Rapat dan lain-lain lagi.

Tegasnya, selain dari kerja-kerja pembersihan, aktiviti sanitasi juga wajib dilakukan setiap hari mengikut ketetapan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“MBI sentiasa memastikan kebersihan pasar-pasar terjamin walaupun kekangan dari segi tenaga kerja namun setiap masalah yang timbul dapat di atasi dengan baik,” katanya.