SERI ISKANDAR - Jasa dan pengorbanan veteran polis tidak dilupakan, malah tetap dikenang menerusi program ziarah menyantuni mereka selain untuk bertanya khabar.

Warga Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah misalnya melaksanakan program ziarah serta menyampaikan sumbangan kotak makanan kepada para veteran polis baru-baru ini.

Lawatan diketuai Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso.

Menurut paparan pada laman Facebook IPD Perak Tengah, matlamat sumbangan yang disalurkan untuk menzahirkan penghargaan kepada para pejuang negara khususnya yang telah bersara.

"Program ini bagi menyampaikan sumbangan kotak makanan daripada MyFundAction yang dahulu dikenali sebagai Yayasan Dana Kebajikan Muslim Malaysia (YDKMM).

"Selain itu, ziarah ini juga dapat membina hubungan baik antara pihak polis dan warga pesara dalam berkongsi ilmu pengetahuan, kemahiran dan pengalaman terutamanya dalam bidang keselamatan serta pencegahan jenayah," menurut paparan tersebut.

Turut hadir ialah Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Daerah (KBPJKKD), Asisten Superintendan Mohamad Daud Esa dan anggota.