IPOH-Sebanyak  19 lokasi geotapak telah diiktiraf oleh Jabatan Mineral Dan Geosains (JMG) sekaligus sesuai untuk dimajukan sebagai pakej laluan Geopelancongan atau Geotrail bagi menarik kedatangan pelancong tempatan dan antarabangsa.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin @ Md. Daud berkata, Geopark Lembah Kinta (GLK) berkeluasan 1,952 kilometer persegi, merupakan salah satu produk pelancongan yang unik, merangkumi Daerah Kinta dan Kampar.

“Lokasi geotapak yang tersenarai di GLK melibatkan Gunung Panjang Gua Tambun, Gunung Datok, sebahagiannya pula adalah Gunung Rapat iaitu Kek Lok Tong dan Sam Poh Tong.

“Selain itu adalah di Lata Ulu Chepor, Gunung Kanthan, Gunung Lang, Hutan Lipur Ulu Kinta, Gunung Tasek, Mata Air Panas Lubuk Timah, Gua Naga Mas, Air Terjun Sungai Chelik, Jeram Papan, Gua Kandu, Gua Tempurung, Jeram Sungai Kampar, Air Terjun Sungai Salu, Air Terjun Batu Berangkai, Gunung Korbu dan terkini adalah Gua Matsoorat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Webinar ‘Mengimarahkan Geopark Lembah Kinta - Cabaran, Perancangan dan Halatuju’ yang diadakan secara dalam talian di laman sosial Facebook, pada Sabtu.

Hadir sama menerusi siaran langsung itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan Dan Pelancongan Negeri Perak, Datuk Nolee Ashilin Datuk Mohamed Radzi.

CABARAN

Rumaizi berkata, antara cabaran utama terhadap usaha mengimarahkan GLK ini adalah aspek keselamatan dan ia merupakan elemen utama yang perlu dititikberatkan oleh Kerajaan Negeri supaya pelancong berasa selamat apabila berkunjung kesemua lokasi geotapak.

Selain itu, aktiviti pengkuarian juga merupakan cabaran terhadap geotapak di negeri perak.

“Tidak seperti geopark lain yang terletak di kawasan alam semulajadi yang jauh dari zon pembangunan.

“Maka adalah menjadi tanggungjawab kepada kerajaan negeri untuk memelihara produk berteraskan alam semulajadi ini di tengah bandar yang mempunyai kepelbagaian aktiviti ekonomi dengan melaksanakan dasar mineral negeri perak yang tertumpu kepada elemen pemulihan dan pemeliharaan,” katanya lagi.

Oleh itu, menurut beliau perancangan pembangunan bersepadu dan lestari perlu dilaksanakan sebaik mungkin bagi mengelakkan pencemaran pemandangan di lokasi Geotapak kesan daripada aktiviti pengkuarian serta pembangunan ekstrem yang mengabaikan nilai estetika semulajadi, sedia ada.

Jelas beliau, program-program pemuliharaan dan pembangunan lestari di bawah konsep geopark perlulah di rancang secara berterusan melalui pameran, wacana, seminar dan hebahan interaktif agar ia dapat memasyhurkan Lembah Kinta di mata masyarakat tempatan dan antarabangsa, di samping memastikan nilai warisan berkenaan dapat diwariskan kepada generasi akan datang.

HALATUJU

Halatuju gagasan geopark perlu di dilaksanakan segera melalui program pemulihan negara, COVID-19 malaysia, kerana ia amat penting untuk meningkatkan taraf sosioekonomi warga yang mengambil kira kelebihan yang ada pada kekayaan khazanah warisan, melalui industri: -

  • Pelancongan

Memajukan industri pelancongan lestari dan memperkenalkan sektor geo pelancongan dengan menerap elemen geosains dalam aktiviti pelancongan dan Rekreasi alam semulajadi sedia ada dan membuka tapak Geo pelancongan baru. Geo pelancongan bukan sahaja menjamin pulangan ekonomi tetapi turut menyokong Usaha pemuliharaan dan peningkatan modal insan.

  •  Sokongan pelancongan

Industri pelancongan membuka luas peluang bagi pertumbuhan pelbagai industri sokongan lain termasuk sektor perkhidmatan penginapan (resort, hotel, inap desa, tapak perkhemahan dan sebagainya) pengangkutan, kulinari dan penghasilan produk cenderamata.

Gagasan geopark menganjur inisiatif unik dalam penghasilan produk tempatan yang boleh dijadikan identiti sesuatu wilayah sebagai produk geopark.

  •  Pemuliharaan

Warga geopark boleh melibatkan diri sebagai renjer dan sukarelawan geopark yang akan bertanggungjawab memantau aktiviti disesuatu tapak geopelancongan. 

  • Penyelidikan & pembangunan

Peningkatan aktiviti pelancongan membawa kepada keperluan penyelidikan saintifik bagi menambah nilai saintifik dan menentukan daya tampungan sesuatu tapak pelancongan.

Kajian sosio-ekonomi juga penting dalam membuat perancangan pembangunan jangka pendek dan jangka panjang.  

  • Pendidikan

Penglibatan warga sebagai pemandu geopark dan pelatih serta pemudah cara dalam aktiviti kesedaran geopark di pelbagai peringkat.

Justeru katanya, GLK memerlukan Pelan Tindakan Pembangunan Sejagat Geopark dan Geotapak dengan segera demi meraikan warisan alam, memperkasa komuniti setempat dan menjana ekonomi wilayah secara lestari.