“Adik, meniaga seorang hari ini? Mana taukeh?”

 “Sayalah ‘fouder’ Jambu Asam Boi ini, kak…,” katanya dengan senyuman terukir.

“Wah, memang terbaiklah adik.”

Begitulah antara dialog awal penulis tatkala melihat kecekalan remaja ini yang gigih berniaga menggunakan motosikal roda tiganya  di hadapan Affin Bank, Meru Raya, Ipoh.

Hasrat penulis untuk sekadar bersembang kosong, terus bersemangat untuk bertanya, Faris Darwisy, 14, dengan lebih lanjut.

Masih bergelar pelajar di sebuah sekolah di Ipoh, siapa sangka perniagaan yang diusahakan oleh anak tunggal ini telah pun mempunyai beberapa cawangan di sekitar bandaraya Ipoh.

 PRODUK JAMBU ASAM BOI FARIS 612

“Setakat ini produk Jambu Asam Boi Faris 612 ada dijual di hadapan pintu masuk Mydin Mall Meru, Taman Perpaduan, Bercham selain di depan bank ini,” katanya.

Ujar Faris produk yang dijualnya adalah jambu batu dan mangga, yang diperisakan dengan serbuk asam boi.

Buah-buahan potong yang mempunyai keenakan rasa masam, manis dan pedas  dipekkan dalam bekas plastik dan dijual pada harga RM10 seunit.

Katanya, purata jualannya seharian adalah 100 pek dan pembeli adalah daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Dalam pada itu katanya, waktu puncak diserbu pelanggan adalah pada waktu petang kemungkinan kerana ramai yang pulang dari kerja dan singgah di gerai bergeraknya itu.

PKP TIDAK MENJEJASKAN

Ditanya adakah perniagaannya terjejas semasa perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) dilaksanakan sejak setahun lalu.

“Tidak langsung… permintaan untuk menikmati buah-buahan ini tidak pernah terhenti. Perniagaan ini tidak pernah bercuti sejak  PKP1.0 lagi,” jelasnya sambil menambah bahawa jenama produknya yang diberi nama ‘Faris 612’ adalah sempena nama dan tarikh lahirnya.

KENANGAN MANIS 

Selain itu, kenangan paling manis ujarnya adalah  apabila menerima pembeli dalam kalangan VVIP iaitu Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Faizal Azumu.  

Sungguhpun sibuk berniaga, namun Faris berkata, dia tidak pernah mengabaikan tanggungjawab sebagai pelajar.

Harapannya semoga peniagaannya terus maju dan menjadi usahawan yang berjaya selain dapat memenuhi permintaan penggemar buah-buahan tempatan.