MADINAH - Jemaah yang bakal mengerjakan umrah boleh memohon dos penggalak vaksin Covid-19 menerusi aplikasi MySejahtera.

Presiden Persatuan Pengendali Umrah, Haji dan Ziarah Negeri Perak (PUHAZ), Mohamad Ali SabriĀ  berkata demikian apabila diminta mengulas kenyataan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) berhubung suntikan dos penggalak.

"Prosedur permohonan itu bertujuan menunaikan ibadah umrah mengikut tatacara yang mesra pengguna.

"Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JKJAV, permohonan boleh dibuat menerusi 'Helpdesk' pada aplikasi MySejahtera untuk membuat janji temu dos penggalak.

"Pertamanya, sila klik pada 'mula' seterusnya, klik pada 'janji temu vaksinasi penggalak' untuk muat naik dokumen yang diperlukan bagi mempercepatkan permohonan vaksinasi penggalak," katanya sewaktu ditemubual selepas lawatannya ke beberapa hotel di Madinah, hari ini.

Mohamad Ali berkata, menerusi maklumat yang dikongsikan di laman Twitter JKAJV, turut dipaparkan ialah panduan dan video kaedah mengisi permohonan bagi dos penggalak melibatkan bakal jemaah umrah pada laman tersebut.

Difahamkan sehingga malamĀ  tadi, sebanyak 1,042,234 dos penggalak sudah diberikan kepada penerima vaksin yang layak.

"PUHAZ berharap bakal jemaah umrah sentiasa memantau aplikasi MySejahtera bagi memastikan temujanji mendapatkan dos penggalak," katanya.