Setiap jemaah umrah dan ziarah yang pernah mengunjungi Kota Madinah, sudah pasti menahan gelora rindu dan merasa terpanggil untuk mengunjunginya semula.

Di sinilah juga tempat istirehat terakhir junjungan besar baginda, Nabi Muhammad S.A.W., nabi terakhir bagi umat Islam. 

Bukan itu sahaja, ia menyimpan jutaan kenangan dan tinggalan sejarah di zaman kegemilangan kebangkitan Islam di muka bumi.

Ketentuan Allah tiada siapa menduga apabila seisi dunia diuji berhadapan dengan musuh halimunan, COVID-19  pada awal tahun 2020 sehingga kini.

Bagaimanapun, pandemik ini membawa seribu satu hikmah disebalik jutaan nyawa terkorban.

Madinah kota haram lagi aman ini, tidak terkecuali menerima kesan krisis pandemik.

Sepanjang tempoh dunia memerangi COVID-19, Madinah seolah-olah Allah memberinya 'rehat' seketika dari kunjungan jutaan umat Islam saban tahun.

Sesungguhnya kasih Allah pada hamba-Nya terlalu agung, malah Dia mendengar rintihan rindu hamba-Nya untuk beribadat dan ziarah di dua Tanah Suci Mekah dan Madinah semula.

Kemelut ngeri ini mula berakhir, setelah Kerajaan Arab Saudi membuka semula sektor pelancongan setelah kes COVID-19 semakin menurun.

Madinah kini sedang melalui fasa pasca pandemik COVID-19.

Bilangan jemaah yang berkunjung ke kota suci ini menampakkan pertambahan hari demi hari meskipun perlu mematuhi segala syarat dan SOP yang ditetapkan kerajaan negara itu.

Para jemaah yang ingin memasuki masjid diwajibkan mempamerkan aplikasi 'Tawakkalna' pada paparan telefon bimbit masing-masing.

Begitu juga untuk menziarahi makam Nabi Muhammad S.A.W diharuskan membuat 'booking' menerusi aplikasi 'Eatmerna'.

Penulis merasai sendiri hikmah disebalik pandemik ini.

Allah mahukan manusia saling hormat menghormati dan tidak seharusnya mementingkan diri sendiri.

Jika sebelum dilanda wabak pandemik ini, sesiapa yang mahu memasuki Raudah dan menziarahi makam Rasulullah seharusnya berjuang sesama sendiri, tolak menolak bak kata orang 'sapa cepat dia dapat'.

Kini tidak lagi, musibah yang melanda memberi pengajaran agar kita semua lebih berdisiplin mengamalkan norma baharu yang lebih menyerlahkan ketamadunan manusia yang beriman.

Memasuki Raudah (taman syurga) kini mudah dan lancar serta ziarah ke makam Rasulullah sungguh tenang dan syahdu.

Indahnya percaturan Allah terhadap hamba-Nya.

Bagi sektor ekonomi pula, masih lagi tidak serancak seperti dahulu.

Kebanyakkan premis perniagaan masih belum beroperasi sepenuhnya.

Kemeriahan aktiviti membeli belah agak kurang dirasai dan mungkin juga dalam tempoh peralihan ini, kunjungan jemaah masih sedikit.

Para peniaga yang terdiri daripada pelbagai bangsa dari seluruh pelusuk dunia masih lagi belum kembali ke Madinah.

Walaubagaimanapun, kota Madinah Al Munawwarah ini tetap memiliki tempat yang berharga di hati umat Islam.

Peluang menjadi tetamu Allah adalah harapan yang tinggi.

Kedamaian dan ketenangan di bumi bersemadinya para ambiya ini tetap menerjah di lubuk sanubari.

Linangan air mata sesekali mengalir tatkala meluahkan salam di hadapan pintu makam Rasulullah, menjadi saksi mengharapkan syafa'at di negara akhirat yang abadi.

Rasulullah S.A.W pernah memanjatkan doa kepada Allah demi keberkatan Kota Madinah.

“Sesungguhnya Ibrahim telah menyucikan Mekah dan mendoakan kebaikan bagi penduduknya, dan aku menyucikan Madinah sebagaimana Ibrahim menyucikan Mekah. Aku juga mendoakan keberkatan untuk takaran dan mud di Madinah sebagaimana Ibrahim mendoakan kebaikan untuk penduduk Mekah” (HR. Muslim).