IPOH - Tempahan hotel dan penginapan di bandaraya ini meningkat hampir 60 peratus sejak Perak beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuatkuasa 8 November lalu.

Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Perak, Nurul Nuzairi Mohd Azahari berkata, ia merupakan lonjakan yang sangat positif selepas perlahan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya yang juga Pengurus Besar Lost World Of Tambun (LWOT), susulan aktiviti rentas negeri dibenarkan tempahan hotel meningkat berikutan kunjungan pelancong dalam negeri ke Ipoh yang dikenali dengan tarkkan tempat-tempat makan.

"Sepanjang Januari sehingga September, tempahan hotel hanya kira-kira 15 peratus sahaja menyebabkan banyak pengendali hotel terkesan.

"Bagaimanapun, apabila rentas negeri dibenarkan, Ipoh mula menjadi tumpuan pelancong tempatan sehinggalah kini permintaan bilik sangat tinggi," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis meraikan delegasi Kelab Wartawan Terengganu (Kawat) di Lost World of Tambun di sini semalam.

Pada majlis itu, seramai 30 petugas media pelbagai agensi diraikan sekali gus mengeratkan hubungan sesama rakan media di negeri ini.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin.

Sementara itu, Rumaizi dalam ucapannya pula mengalu-alukan kunjungan ahli-ahli Kawat yang memilih Ipoh sebagai destinasi kunjungan mereka.

Katanya, kehadiran petugas media Terengganu juga memberikan ruang pada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) mengetengahkan Ipoh sebagai lokasi pilihan pelancong.

"Media amat penting dalam sektor pelancongan di Ipoh kerana salah satunya adalah melalui publisiti.

"Ini kerana usaha mempromosikan pelancongan Ipoh menjadi tidak bermakna jika tiada publisiti menerusi saluran media," ujarnya.

Malah kata Rumaizi, kunjungan ahli-ahli Kawat juga dapat membina kerjasama secara tidak langsung antara bandaraya Ipoh dengan Kuala Terengganu dalam memajukan pelancongan masing-masing