IPOH - Orang ramai boleh melakukan perjalanan melalui udara ke Terengganu dari Perak apabila rancangan untuk mewujudkan penerbangan terus dari Ipoh terlaksana.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin@Md Daud berkata, pelaksanaan itu bagaimanapun bergantung kepada permintaan bagi merancakkan lagi aktiviti pelancongan di Perak.

"Kita mahu perbanyakkan aktiviti pelancongan selain meningkatkan ekonomi negeri khususnya di Ipoh dan kita lihat potensi pelancongan antara ipoh ke Kuala Terengganu juga amat baik," katanya.

Menurut beliau, teknologi penerbangan semakin berkembang maju dan tidak mustahil ianya boleh dilakukan bagi menarik kemasukkan pelancong.

Katanya lagi di negara-negara seperti Thailand dan Sumatera Utara juga terdapat penerbangan terus disebabkan permintaan yang tinggi daripada para pelancong.

Beliau berkata demikian dalam sidang media, pada Majlis Minum Petang meraikan kunjungan Media Terengganu ke bandaraya ini, pada Khamis.

Lawatan itu bertujuan mempromosikan pelancongan bagi kedua-dua negeri selain mengeratkan hubungan antara media Perak dan media Terengganu.

Hadir sama, Pengurus Besar Lost World of Tambun, Nurul Nuzairi Mohd Azahari, Timbalan Presiden Kelab Wartawan Media Terengganu (KAWAT), Suhaimi Ahmad, Wakil Presiden Kelab Sukan & Kebajikan Media Perak, Mohd Syahrizal  Azmi; Pengurus Pemasaran, Perak Industrial Resources Sdn. Bhd, Hardeep Kaur Dhaliwal serta Ahli Jawatankuasa Kelab Sukan & Kebajikan Media Perak dan media Perak.