BAGAN DATUK - Seorang lelaki warga emas dipercayai lemas dalam kejadian di Jalan Tepi Sungai, Hutan Melintang dekat sini petang tadi.

Polis yang menerima maklumat berhubung kejadian itu kemudian menghubungi pihak bomba untuk bantuan pencarian.

Jurucakap Bilik Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Perak memberitahu, pihaknya menerima panggilan daripada polis pada pukul 3.47 petang.

Menurut jurucakap tersebut, sepasukan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Hutan Melintang dikerah ke lokasi kejadian.

"Berdasarkan maklumat, identiti mangsa disahkan sebagai Ramasamy Muthusamy berusia 63 tahun.

"Mangsa dipercayai lemas berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian," ujar jurucakap tersebut.

Operasi mencari dilakukan menggunakan kaedah pencarian pada permukaan dengan sebuah bot aluminium dalam jarak dua kilometer dari lokasi mangsa dipercayai lemas.

Gerakan juga dibantu enam anggota Angkatan Pertahanan Awam dan tiga anggota polis.

Sehingga pukul 7.10 malam mangsa masih belum dijumpai dan gerakan mencari ditangguhkan sebelum disambung esok.

Operasi diketuai PBK II Rozali Uyop.