MEKAH - Para jemaah umrah di bawah PUHAZ bakal menghayati sukan sunnah Rasulullah SAW bagi memenuhi permintaan jemaah Malaysia.

Persatuan Pengendali Umrah, Haji dan Ziarah Negeri Perak (PUHAZ) bersetuju menjadikan sukan sunnah sebagai salah satu pengisian pakage umrah yang menarik.

Timbalan Presiden PUHAZ, Mohamad Jamaluddin berkata, Wadi Berkat Dato' Ibu Hudaibiah (WBDIH) merupakan lokasi pilihan tepat bagi melaksanakan aktiviti riadah kepada jemaah umrah.

"PUHAZ dalam rangka perundingan dua hala bagi mewujudkan kerjasama berkaitan pakej yang akan laksanakan dalam masa terdekat ini.

"Bersesuaian dengan lokasi WBDIH yang terletak lebih kurang 15 minit dari kota Mekah, ia memudahkan perjalanan jemaah untuk berkunjung ke sini.

"Aktiviti mengimarahkan sunnah nabi itu ialah sukan memanah, menunggang kuda dan memberi makanan kepada unta.

"Suasana persekitaran yang mesra ini, para jemaah akan disulami dengan majlis ilmu, tahlil dan paling menarik akan dihiburkan dengan alunan lagu-lagu nasyid secara langsung," katanya selesai majlis perbincangan bersama pihak WBDIH di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Puhaz, Mohamad Ali Sabri.

WBDIH beroperasi di bawah Global Ikhwan Sdn.Bhd. (GISBH Holding) berdekatan dengan Masjid Hudaibiyah merupakan salah satu syarikat bumiputera yang telah beroperasi sejak 2018.

Pengurus Ladang Ternakan WBDIH, Muhammad Muaz Mohd Angri berkata selain dari aktiviti riadah, GISB Holding juga menyediakan latihan menunggang kuda.

"Beberapa projek pembangunan sedang dilaksanakan seperti rumah penginapan, baik pulih kolam renang dan pengindahan lanskap.

"Pihak kami berterima kasih kepada PUHAZ yang telah memilih kami untuk menjalinkan kerjasama antara GISB Holding.

"Kami akan cuba memberi perkhidmatan terbaik kepada agensi-agensi di bawah PUHAZ bagi memastikan pengisian pakej umrah yang bermanfaat," katanya.